PETALING JAYA – Gangguan sistem Sumbangan Asas Rahmah (Sara) petang tadi mencetuskan suasana kelam-kabut di beberapa pasar raya dan kedai terpilih apabila ramai penerima membuat pembelian pada saat-saat akhir.
Tinjauan di media sosial mendapati terdapat pengguna yang mendakwa terpaksa menunggu lama di kaunter pembayaran, malah ada yang meninggalkan barangan kerana transaksi tidak dapat diproses menggunakan MyKad.
Menurut laman rasmi Sara, kredit bantuan RM100 one-off boleh digunakan mulai 31 Ogos 2025 hingga 31 Disember 2025 (hari ini) bagi pembelian barangan asas di kedai dan pasar raya terpilih.
Susulan itu, orang ramai dipercayai berpusu-pusu membuat pembelian pada hari terakhir, sekali gus menyebabkan beban transaksi tinggi dan menjejaskan kelancaran sistem.
“Sara RM100 ‘server down’. Mayday mayday. Malam tadi pakai ok. Ini hari terakhir tak ok. Ada lagi baki RM46.05 dalam akaun,” tulis Adliesyahmie di akaun Thread.
“Goodluck siapa nak guna Sara hari ni. Merata-rata ‘sistem down’ jadi tak boleh nak tebus. Pengajarannya, jangan ‘last minute’,” kata Hisyam.
Sementara itu, setakat pukul 10 malam tadi, ada juga pengguna media sosial memuat naik gambar keadaan barisan di sebuah pasaraya yang panjang ekoran orang ramai menebus Sara pada saat akhir.
“Tolong naikkan bonus lebih sikit untuk staf yang mana anjakkan masa utk pelanggan habiskan Sara malam ni. Mereka sangat penyabar, tunggu kami-kami pelanggan yang jenis memang lupa ingatan dan ‘last minute’,” tulis Sora. – KOSMO! ONLINE














