fbpx
Antara barangan rampasan serbuan dilakukan Briged Tengah PGA.

538 serbuan PGA, nilai rampasan cecah RM1.1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan sebanyak 538 serbuan dengan rampasan bernilai RM1.1 bilion sepanjang tahun ini.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai pendekatan strategik dalam usaha membanteras jenayah penyeludupan, khususnya di kawasan sempadan perairan Malaysia melibatkan Pantai Selangor dan Pantai Barat Johor.

Katanya, beberapa operasi telah digerakkan seperti Op Taring Nyah 1 (Selangor dan Johor) bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), Op Kontraban bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan tanpa cukai.

“(Manakala) Op Bersepadu Khazanah melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar serta khazanah negara dan Op Hazard bagi jenayah berkaitan alam sekitar.

“Operasi ini turut dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain di peringkat inter dan intra agensi, selaras dengan pendekatan holistik menangani jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua serbuan dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah PGA meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Hasilnya, seramai 1,649 individu berjaya ditangkap, dengan pelbagai jenis rampasan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM1.1 bilion.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hakemal menyeru kerjasama orang awam untuk menjadi barisan hadapan dengan menyalurkan maklumat serta sebagai mata dan telinga kepada pasukan keselamatan.

“Ini demi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan dan aktiviti haram,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN