KUALA PILAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar pemandu kereta yang dipercayai positif dadah di Kilometer (KM) 23, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian pukul 11.10 malam itu membabitkan kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 23 tahun dan motosikal Honda ditunggang mangsa berusia 28 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Felda Keratong. Setibanya di lokasi kejadian, pemandu itu hilang kawalan dan memasuki laluan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Penunggang motosikal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan tidak sempat mengelak menyebabkan berlaku perlanggaran dan disahkan maut di lokasi. Pemandu kereta cedera ringan. Mangsa mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk dibedah siasat.
“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu kereta positif dadah THC (kanabis). Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE














