PETALING JAYA – Laluan Cameron Highlands-Gua Musang yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh kini boleh dilalui semula menerusi laluan sementara dibina oleh pihak syarikat perladangan.
Menerusi perkongsian video pengguna TikTok @nashtemiar2025, dia memaklumkan pengguna yang melalui laluan tersebut akan dikenakan bayaran RM5 bagi perjalanan sehala dan RM10 untuk perjalanan pergi dan balik.
“Info terkini pada 30 Disember, sekarang kita sudah boleh guna laluan yang dibina oleh pihak syarikat perladangan. Cuma dikenakan bayaran RM5 sehala. Kalau pergi balik, sediakan RM10. Mungkin bayaran untuk pihak kontraktor yang membina laluan ini,” katanya.
Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati memandangkan keadaan cuaca masih dalam musim tengkujuh.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya bersyukur laluan tersebut kembali boleh digunakan, namun berharap aspek keselamatan terus diberi keutamaan.
“Saya sanggup bayar RM10 daripada menggunakan laluan Sungai Koyan. Tetapi kalau hujan agak tidak sesuai lah sebab takut licin,” komen Etty Ezzaty.
“Dari Gua Musang ke Perak, saya sanggup bayar RM30 kalau boleh lalu jalan ni. Perjalanan cuma tiga jam tetapi ikut jalan lain, enam jam baru sampai kampung,” kara Asyraf Syazwan.
“Okay la tu bayaran RM5. Dia nak buat kos jalan tu pun bukan sikit pakai duit. Kalau jimat kilometer dan dapat juga jimat minyak kereta. Pada aku, aku nak cepat sampai saja cuma mungkin kurang sesuai untuk laluan belah malam,” komen Zahar. – KOSMO! ONLINE














