fbpx
Antara warga asing menjalankan servis urut di salah sebuah premis di Bukit Bintang yang ditahan dalam serbuan JIM KL malam tadi.

[VIDEO] Urut tak dapat, duit melebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang penjawat awam untuk menikmati urutan selepas kepenatan bermain golf bertukar menjadi pengalaman pahit apabila dia antara pelanggan yang ‘terperangkap’ dalam serbuan operasi imigresen di beberapa pusat urut sekitar Bukit Bintang, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 40-an itu berkata dia tiba di ibu kota dari Ipoh, Perak untuk bermain golf sebelum menginap di salah sebuah hotel berhampiran kawasan tersebut.

Katanya, ketika kejadian, dia keluar untuk membeli makanan sebelum terserempak dengan beberapa wanita iaitu tukang urut di premis berkenaan.

“Mereka tarik-tarik dan pujuk saya untuk urut badan. Mula-mula saya tak mahu, tapi mereka tarik-tarik. Kebetulan badan saya memang sakit selepas main golf.

“Jadi saya bayar RM60 kepada wanita Indonesia itu dan masuk ke tempat urut. Belum sempat diurut, jadi macam ini (serbuan),” katanya ketika ditemui dalam serbuan di salah sebuah premis di Bukit Bintang, di sini, malam tadi.

Pusat urut tersebut merupakan salah satu daripada tiga premis yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam Ops Gegar dan Ops Kutip kira-kira pukul 11 malam hasil risikan selama dua minggu.

Ketika Wartawan Kosmo! mengikuti operasi tersebut, berlakunya sedikit kekecohan apabila beberapa warga asing yang bersidai di balkoni sambil memegang iklan urut, lari bertempiaran bagi mengelakkan diri daripada ditangkap.

Tinjauan di dalam premis urut itu juga mendapati majoriti pekerja terdiri daripada warga Indonesia yang tidak mempunyai pasport serta permit kerja sah walaupun beberapa tahun menetap di Malaysia.

Salah seorang pekerja yang ditahan, Lina, 35, warga Medan, Indonesia, berkata dia tiba di Malaysia pada Julai tahun lalu sebelum mula bekerja sebagai tukang urut di premis berkenaan.

Katanya, premis tersebut beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dengan menawarkan khidmat urut serendah RM60 untuk 40 minit.

“Gaji saya 50 peratus daripada bayaran pelanggan. Malam ini saya baru dapat dua (pelanggan). Malam-malam lain biasanya paling ramai lima orang.

“Kebanyakan pelanggan orang tempatan. Saya memang masuk Malaysia untuk kerja urut. Tiada buat lain, memang urut sahaja. Pasport dan permit kerja ada sama bos,” dakwanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 30 individu ditahan dalam operasi di sekitar Bukit Bintang melibatkan beberapa premis urut yang diperiksa.

Menurut beliau, tangkapan membabitkan 11 warga Indonesia, 16 warga Kemboja, dua warga Thailand dan seorang warga China.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur dan Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang imigresen,” ujarnya.

Katanya, kesemua tahanan disiasat mengikut Seksyen 55E, 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN