fbpx
Pak Lah (kiri) dan Bung Moktar (kanan)

Rangkuman 2025: Belasungkawa, mereka dalam kenangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

1- Perginya negarawan terbilang Pak Lah

BEKAS Perdana Menteri Malaysia kelima (2003–2009), Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia pada 14 April lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 85 tahun kerana masalah pernafasan dan faktor usia di samping turut menghidap penyakit demensia untuk tempoh yang lama.

Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Sepanjang era kepemimpinannya, beliau menekankan konsep Islam Hadhari, pembangunan ekonomi dan usaha memperkukuh integriti kerajaan. Beliau melancarkan usaha memerangi rasuah dengan memperkenal Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, beliau melancarkan lima koridor pembangunan ekonomi utama untuk merangsang pertumbuhan seimbang di seluruh negara.

2- Bung Moktar sudah tiada

KETUA UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, meninggal dunia pada 5 Disember lalu pada usia 66 tahun.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat kegagalan buah pinggang.

Pemergian beliau dimaklumkan oleh anaknya, Naim Moktar menerusi hantaran di laman Facebook kira-kira pukul 2 pagi.

Allahyarham merupakan ahli politik veteran Sabah, Ahli Parlimen Kinabatangan sejak 1999, Ketua Barisan Nasional Sabah dan pernah menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Sepanjang penglibatan Allahyarham dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh besar.

3- Tiada lagi Tun Dr. Mohamed Hashim

BEKAS Panglima Angkatan Tentera, Tun Mohamed Hashim Mohd. Ali, 90, menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami sakit strok di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Allahyarham juga merupakan adik kepada isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali.

Allahyarham merupakan salah seorang wakil kerajaan Malaysia yang menandatangani Perjanjian Damai Hatyai pada 2 Disember 1989, mewakili tentera Malaysia sebagai Panglima Angkatan Tentera ketika itu. Perjanjian ini adalah untuk menamatkan gerakan bersenjata Parti Komunis Malaya setelah lebih 41 tahun ancaman komunis di negara ini.

Selain itu Allahyarham juga tokoh utama di sebalik penganjuran Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

4- G. Palanivel meninggal dunia

DATUK Seri G. Palanivel Govindasamy yang merupakan bekas presiden kelapan Kongres India Malaysia (MIC) meninggal dunia pada 17 Jun lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia 76 tahun.

Sepanjang hayat, beliau pernah menyandang jawatan Menteri Kabinet iaitu Timbalan Menteri Kebajikan dan Pembangunan Keluarga (2004 hingga 2008), Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (1999 hingga Mac 2008), Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (Jun 2010 hingga Ogos 2011), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ogos 2011 hingga Mei 2013) dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (Mei 2013 hingga Julai 2015).

Sebelum menceburi bidang politik, beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai penyelidik di Muzium Negara. Beliau sentiasa mengutamakan kebajikan dan pembangunan masyarakat India di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN