fbpx
Mohamad Fariz bersama isterinya, Nor Syatirah melihat keadaan Muhammad Arash Zulkarnain ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Paya Sena, Pendang kelmarin.

‘Bedah atau nyawa Arash dalam bahaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDANG – Tiada apa yang diharapkan daripada sepasang suami isteri selain melihat anak kecil mereka pulih seperti biasa daripada penyakit kanser yang menyebabkan kerosakan hati dikenali Langerhans’ Cell Histiocytosis (LCH).

Bagaimanapun, harapan itu hanya dapat direalisasikan sekiranya Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, 3, dapat menjalani pembedahan pemindahan hati di Renji Hospital, Shanghai, China dengan kos mencecah RM185,000.

Ibu kanak-kanak tersebut, Nor Syatirah Zairenor, 31, berkata, setakat ini dana yang terkumpul cuma RM2,000 walaupun pembedahan itu dijadualkan pada Januari depan.

“Hanya pembedahan mampu menyelamatkan nyawa Arash. Doktor sarankan Arash dibedah secepat mungkin atau nyawanya dalam bahaya.

“Saya akan menjadi penderma hati untuk Arash. Setakat ini saya dan suami berusaha sedaya upaya mencari dana untuk pembedahan ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Sena di sini semalam.

Nor Syatirah berkata, kesihatan anak keduanya itu juga sering terganggu apabila perutnya semakin berbesar sehingga menyukarkannya bernafas.

“Anak kami membesar de­ngan normal dan aktif sebelum mendapat simptom penyakit itu ketika berusia setahun enam bulan apabila matanya kelihatan kekuningan.

“Setakat ini Arash sudah menjalani pembedahan membuang kelenjar dan rawatan kemote­rapi selama 10 minggu, namun rawatan terpaksa dihentikan selepas keadaannya semakin merosot apabila hati dan limpa terus membesar,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak berusia empat tahun.

Sementara itu, bapanya, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, berkata, situasi tersebut menuntut mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari Melaka ke Kedah bulan lepas, sekali gus menyebabkan dia kehilangan kerjaya sebagai jurutera.

“Saya akan cari kerja lain di sini dan pada masa yang sama fokus untuk mencari dana bagi pembedahan Arash,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyumbang melalui akaun Maybank, 1521 2541 5356 milik Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri atau atau menghubunginya menerusi di talian 010 398 4638.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI