PETALING JAYA – Menghargai insan tersayang, pelakon Fattah Amin memberikan kejutan kepada ibunya, Azizah Abdul Ghani dengan menghadiahkan kenderaan pelbagaiguna (MPV), Toyota Noah.
Momen manis dalam satu video pendek itu dikongsikan di laman sosial sebuah syarikat jualan menerusi platform TikTok mereka.
“Tahniah Fattah kerana dapat menghadiahkan ibu sebuah kereta Toyota Noah.
“Semoga Fattah dan sekeluarga bahagia hingga ke akhir hayat,” tulis keterangan gambar pada video berkenaan.
Kelihatan wajah gembira wanita terbabit sebaik jentera berwarna ‘red mica metallic’ ditunjukkan putera sulungnya itu ketika mereka tiba di premis berkenaan.
Kehadiran pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu turut disertai bapanya, Mohd Amin Musa. Admin akaun laman sosial syarikat terbabit juga sempat berseloroh bahawa selepas ini giliran isteri Fattah, Amira Otman pula bakal menerima kereta baharu.
“Hari ini untuk ibu, mungkin esok untuk Amira pula?” tulisnya
Menerusi ruangan komen, ramai netizen memuji Fattah sebagai anak anak yang mengutamakan serta membahagiakan ibunya.
“Rezeki yang berkat apabila anak dapat membahagiakan ibu,” tulis netizen.
Terdahulu, menerusi semakan harga kereta Toyota Noah di pasaran adalah sekitar RM115,000 hingga RM170,000 mengikut spesitikasi.- KOSMO! ONLINE














