DHAKA – Bekas Perdana Menteri wanita pertama Bangladesh, Khaleda Zia meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas menghidap penyakit berpanjangan, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
“Pemimpin kesayangan kami tiada lagi bersama kami. Arwah kembali ke rahmatullah pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) hari ini,” tulis Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pimpinan Zia di platform Facebook.
Pasukan perubatan menyatakan semalam bahawa keadaan Allahyarham ‘sangat kritikal’.
“Beliau diletakkan di bawah mesin sokongan hayat, namun tidak mampu menjalani pelbagai rawatan kerana usia dan keadaannya yang semakin lemah,” kata pasukan itu.
Zia dilantik Perdana Menteri Bangladesh pada 1991 selepas BNP pertama kali meraih kemenangan dalam pilihan raya umum dalam tempoh 20 tahun.
Allahyarham sekali lagi dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2001 dan berkhidmat sehingga 2006. – AGENSI














