PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya bertol utama di Semenanjung Malaysia dilaporkan semakin meningkat dan bergerak perlahan setakat pukul 8.17 malam ini.
Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) memaklumkan, kesesakan dikesan di beberapa lokasi kritikal melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dan selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah serta Lebuh Raya Koridor Guthrie.
Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, kesesakan dilaporkan dari Sungkai ke Bidor, Gopeng ke Simpang Pulai, Kuala Kangsar ke Bukit Berapit, Changkat Jering ke Taiping Utara serta Bukit Merah ke Alor Pongsu. Arah selatan pula melibatkan laluan Alor Setar Selatan ke Pendang, Gurun ke Sungai Petani Selatan, Permatang Pauh ke Perai, selain Tanjung Malim ke Lembah Beringin dan Sungai Buaya ke Rawang Selatan.
Di selatan tanah air, trafik perlahan turut dilaporkan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dari Ayer Keroh ke Pagoh, Pagoh ke Yong Peng serta Simpang Renggam ke Kulai.
Keadaan sama turut dikesan di Tambak Johor dan Lebuh Raya Linkedua menuju ke pusat pemeriksaan imigresen Singapura.
Sementara itu, kesesakan turut berlaku di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak melibatkan laluan Karak ke Lentang serta Bukit Tinggi ke Gombak, manakala Lebuh Raya ELITE mencatatkan aliran trafik perlahan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Gamuda Cove.
LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati, mengekalkan jarak selamat dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh melalui hotline 1800-88-7752, laman sosial @llmtrafik serta aplikasi TUJU dan MYJalan.-KOSMO! ONLINE














