fbpx
Mustapha

Usaha berterusan bukti kerajaan tidak pernah pinggir Sabah, Sarawak – Mustapha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Usaha berterusan Kerajaan Madani membuktikan tiada mana-mana wilayah atau negeri dipinggirkan, sebaliknya Sarawak dan Sabah terus diangkat sebagai rakan strategik utama dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata beliau menyatakan sokongan penuh terhadap tekad Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memperkukuh agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan negara.

Beliau berkata Kerajaan Madani kekal komited memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Sarawak melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur, serta pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Pada masa yang sama, Sabah turut diberi keutamaan menerusi usaha mempercepat projek pembangunan asas, meningkatkan kemudahan awam, dan merangsang pertumbuhan ekonomi Wilayah secara menyeluruh.

“Penekanan berterusan kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata usaha ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak terus dipelihara secara adil dan berprinsip.

“Manfaat pembangunan ini mesti sampai terus kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Mustapha turut mengalu-alukan langkah kerajaan dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi.

Jelasnya, inisiatif perumahan rakyat, termasuk Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia, mencerminkan pendekatan Kerajaan Madani yang holistik dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Justeru saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak dan Sabah, agar terus mendokong kepimpinan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan Negara berlandaskan prinsip Madani, sejajar dengan aspirasi ‘Segulai Sejalai dan Sabah Maju Jaya’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI