PETALING JAYA – Tidak mahu tidur terganggu selain dibebani dengan masalah kecurangan pasangan antara punca ramai suami isteri memilih tidur berasingan atau sleep divorce.
Trend yang semakin popular itu turut berpunca daripada masalah dengkur, ketagihan permainan video selain mahu tidur berkualiti menjadi faktor memilih untuk ‘berpisah’ ketika tidur.
Kebiasaannya pasangan memilih sama ada tidur berlainan bilik atau katil kerana mahu mendapatkan rehat yang baik memandangkan suami isteri bekerja.
Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, selain mahu rehat yang baik, pasangan suami isteri memilih untuk tidur berasingan ialah kerana mempunyai masalah komunikasi atau tiada persefahaman.
“Tidur berasingan ini memberi kesan kepada keintiman pasangan suami isteri itu. Jika tidur sekali, satu katil di situ akan berlaku komunikasi antara mereka. Perkara itu yang boleh mengeratkan hubungan mereka.
“Tidur bersama ini bukan semata-mata untuk berhubungan, tetapi di situlah akan ada sentuhan kasih sayang, siang bekerja jadi bila tidur sebilik, semasa itulah boleh berbual berkongsi cerita dengan suami isteri,” katanya.
Hushim berkata, gejala tidur berasingan ini juga berlaku tidak kira mengikut peringkat umur pasangan.
“Kebiasaannya ada pasangan yang mahu selesaikan isu tidur berasingan ini, jadi mereka dapatkan perkhidmatan kaunseling. Dari situ kita tahu ada macam-macam sebab pasangan tidak mahu tidur bersama ini.
“Ada juga pasangan yang tidak lagi tidur bersama kerana ada berlaku kecurangan, suami ketagih menonton porno atau leka bermain permainan video. Jadi, di situ bermula tidur asing dan akhirnya masalah tidak diselesaikan,” katanya.
Justeru itu katanya, sebaiknya suami isteri tidur bersama kerana masa yang diluangkan sebelum tidur boleh digunakan untuk berkongsi cerita, meluahkan perasaan yang sekali gus mengeratkan lagi hubungan.














