KUALA LUMPUR – Usaha beberapa individu untuk membantu dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah tingkat 9, Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu, di sini hari ini, gagal apabila mendapati pintu rumah terbabit berkunci.
Dalam kejadian itu, seorang wanita warga emas berusia 80-an serta anaknya berusia 40-an ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di lokasi kejadian.
Jiran yang ingin dikenali sebagai Eddy, 30-an, berkata, ketika kejadian, dia baru pulang dari menghantar anaknya ke tempat pengasuh sebelum menyedari terdapat asap di rumah terbabit.
Bagaimanapun, katanya, dia beranggapan itu perkara biasa memandangkan jiran lelaki yang tinggal di rumah itu dikenali sebagai Pak Tam selalu membakar barang dalam rumah.
“Pak Tam dan ibunya yang kami panggil Opah memang penduduk asal di situ. Kami tahu anak Opah memang suka bakar benda untuk halau nyamuk.. kadang-kadang kertas, alas telur dan sebagainya. Pagi tadi kira-kira pukul 6.30 pagi, saya lihat asap itu tebal daripada biasa. Jadi saya dan beberapa jiran lain cuba mengetuk pintu dan mahu membukanya bagi membawa kedua-dua mereka keluar.
“Namun, pintu seakan terhalang dengan barang dan berkunci jadi gagal membukanya serta menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, dia yang berjiran dengan kedua-dua mangsa sejak empat tahun lalu jarang melihat mereka keluar rumah namun kali terakhir melihat Pak Tam, dua hari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada pukul 7.13 pagi.
Katanya, polis yang tiba di lokasi mendapati kebakaran berjaya dipadamkan pihak bomba namun punca-punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut.
“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














