HULU TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dikenakan tindakan kerana dituduh terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang guru kerugian sebanyak RM144,452 selepas diperdaya sindiket penipuan.
Wanita berusia 56 tahun itu terperdaya dengan taktik ‘scammer’ sehingga menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada suspek yang mengaku sebagai pegawai Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, guru wanita tersebut dihubungi suspek sejak awal bulan ini.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa supaya menyerahkan kad ATM berserta nombor PIN (nombor pengenalan peribadi) kononnya bagi tujuan penyiasatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kad ATM itu kemudian dipercayai diambil individu tidak dikenali sebelum wang simpanan mangsa dikeluarkan tanpa pengetahuannya. – KOSMO! ONLINE














