ABUJA – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam letupan sebuah masjid di bandar Maiduguri, Nigeria ketika waktu solat isyak semalam.
Agensi berita AP memetik polis sebagai berkata, 35 orang turut cedera dalam letupan tersebut.
”Siasatan awal menunjukkan letupan mungkin berpunca daripada serangan bom bunuh diri,” kata jurucakap polis negeri Borno, Nahum Daso.
Menurutnya, siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian masih dijalankan dan polis memeriksa kawasan sekitar untuk mengesan sebarang peranti letupan lain.
Terdahulu, agensi berita AFP memetik sumber tempatan sebagai berkata, sekurang-kurangnya tujuh jemaah maut dalam letupan itu.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab, namun masjid-masjid sebelum ini kerap menjadi sasaran kumpulan militan.
Seorang pemimpin militia dipetik AFP sebagai berkata, bom itu disyaki diletakkan di dalam masjid sebelum meletup ketika jemaah sedang mengerjakan solat.
Maiduguri merupakan ibu negeri Borno yang terletak di timur laut Nigeria.
Kawasan itu merupakan lokasi aktif kumpulan seperti Boko Haram dan cawangannya, Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) selama hampir dua dekad.
Bandar Maiduguri tidak mencatatkan sebarang serangan besar sejak tahun 2021.
Bagaimanapun, kesan konflik masih jelas kelihatan di bandar tersebut dengan kewujudan pusat pemeriksaan yang kerap dan rondaan tentera. – AGENSI














