JOHOR BAHRU – Polis Johor mengeluarkan sebanyak 4,433 saman trafik dalam tempoh dua hari pertama pelaksanaan Ops Krismas dan Ops Ambang Tahun Baharu 2026, bermula 23 hingga 24 Disember lalu, sebagai langkah mencegah jenayah serta mengekalkan keselamatan awam sepanjang musim perayaan dan cuti hujung tahun di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, statistik saman itu direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari semalam, hasil operasi bersepadu melibatkan 1,681 pegawai dan anggota PDRM sehari di seluruh negeri.
Menurut beliau, operasi yang berlangsung selama 10 hari sehingga 1 Januari 2026, dilaksanakan berikutan peningkatan kemasukan pelancong dan pergerakan kenderaan ke negeri ini.
“Johor menjadi tumpuan pelancong bukan sahaja dari Singapura dan Indonesia, malah dari negeri lain seperti Selangor, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Justeru, operasi ini bertujuan mewujudkan perasaan selamat, mencegah jenayah serta memastikan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini, malam tadi.
Beliau berkata, statistik PLUS Malaysia Berhad menunjukkan purata 22,000 hingga 24,000 kenderaan keluar dan masuk ke Johor setiap hari melalui Plaza Tol Senai Utara dan Tol Lima Kedai sejak 19 Disember lalu, dengan angka hampir sama direkodkan di lokasi lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan bahawa satu Operasi Motosikal yang dijalankan di sekitar Iskandar Puteri berjaya memeriksa 52 buah motosikal melibatkan 56 individu, berusia antara 9 hingga 28 tahun.
“Hasil operasi itu, 143 saman PDRM dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 52 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE














