MELAKA – Kanak-kanak penghidap penyakit biliary atresia (BA), Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq, 2 tahun 4 bulan, yang menjalani pemindahan hati di sebuah hospital di Shanghai, China kelmarin terpaksa ditidurkan selama empat hingga lima hari.
Bapanya, Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, berkata, ia susulan penemuan kuman di paru-paru Medina dan prosedur itu dilakukan bagi membolehkan anaknya berehat sepenuhnya sebelum dibangunkan.
“Doktor menjumpai kuman di paru-parunya dan mengambil langkah untuk menidurkannya antara empat hingga lima hari bagi membolehkan Medina berehat.
“Ia juga bagi membolehkan Medina bernafas dengan selesa menggunakan tiub sebelum ia dibuka apabila sedar nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu ibu Medina, Norfazlinah Ibrahim, 28, berkata, dia masih menunggu untuk dibenarkan menatap wajah anak kesayangannya itu selepas kali terakhir berjumpa sebelum prosedur pemindahan hati bermula pada pukul 9 pagi semalam.
Katanya, doktor memaklumkan bahawa kesedaran Medina bergantung kepada kekuatan fizikalnya dan ahli keluarga tidak dibenarkan berada di sisi kanak-kanak itu sepanjang pembedahan sehingga dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Sepanjang menunggu, saya mengadakan bacaan doa dan solat hajat. Saya juga meminta bantuan pelajar tahfiz memohon mendoakan agar Medina segera kembali sihat dan sedar.
“Kalau dia kuat, dia akan sedar dengan cepat, kami rindu nak tengok Medina sedar,” katanya.
Ujarnya lagi, dia dan suaminya turut memohon rakyat Malaysia untuk terus mendoakan agar anak mereka segera pulih dan kembali ceria seperti biasa.
Semalam Kosmo! melaporkan pembedahan pemindahan hati Medina serta bapanya, berjalan lancar di sebuah hospital di Shanghai, China.
Norfazlinah berkata, suaminya yang menderma sebahagian hati untuk anak pertama mereka telah dibawa masuk ke bilik pembedahan terlebih dahulu sebelum selesai menjalani prosedur kira-kira empat jam kemudian.
Pembedahan yang bermula kira-kira pukul 9 pagi tidak menghadapi sebarang masalah dan suaminya telah sedarkan diri selepas prosedur itu, namun Medina ditempatkan di ICU bagi tujuan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.-KOSMO! ONLINE














