PETALING JAYA – Waktu operasi 10 kaunter Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) akan dilanjutkan bagi memberi ruang kepada pembayar menunaikan kewajipan berzakat sebelum berakhir tahun 2025.
PPZ-MAIWP dalam kenyataan berkata, bermula semalam hingga 31 Disember ini, semua kaunter akan beroperasi bermula pukul 8 pagi sehingga 9 malam kecuali di UTC Pudu Sentral ditutup sejam lebih awal.
“Selain itu, pembayar juga boleh membuat bayaran zakat secara online melalui portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my, Aplikasi MyZakat serta melalui ejen-ejen bayaran yang dilantik seperti perbankan internet dan juga e-Wallet.
“PPZ-MAIWP turut menawarkan perkhidmatan Zakat 1 Call Away membolehkan pembayar menunaikan zakat dengan mudah hanya melalui talian zakat kami di 1 300 88 5757,” kata kenyataan itu.
PPZ-MAIWP menyeru orang ramai agar segerakan bayaran zakat pada atau selewat-lewatnya 31 Disember bagi mendapatkan 100 perastus rebat cukai pendapatan tahun taksiran 2025.
“Sempena Kempen Year End Zakat 2025, pembayar juga berpeluang untuk memenangi pakej umrah dan lebih 1,500 hadiah menarik yang akan diumumkan pada Februari 2026,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














