PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Titah Adendum tidak sama sekali mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri (YDPN) ketika memberikan pengampunan kepada pesalah.
Dalam kenyataan hari ini, AGC menjelaskan, mahkamah telah menekankan bahawa pengampunan adalah kuasa prerogatif YDPA yang mana adalah terjamin di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diputuskan dalam keputusan duluan mahkamah atasan.
Namun begitu, menurut AGC, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan, kuasa pengampunan perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat sebagaimana dinyatakan di bawah Perkara 42.
“Berkenaan dengan kes Najib, Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Ke-61, jelas mendedahkan bahawa perihal berhubung tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau dititahkan oleh YDPA ke-16 semasa mesyuarat tersebut.
“Dalam hal ini, mesyuarat tersebut hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh oleh Najib dan titah YDPA pada ketika itu hanyalah supaya hukuman penjara dan denda dikurangkan sebanyak 50 peratus.
“Sehubungan itu, Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa titah tambahan untuk tahanan rumah tidak dibuat berdasarkan Perkara 42 PP memandangkan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat dan tidak diputuskan oleh YDPA dalam mesyuarat yang sama,” kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menjelaskan dengan terperinci perjalanan kuasa YDPA, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) dan YDPN dalam memutuskan sesuatu pengampunan sekaligus memperkukuhkan dan mengesahkan kuasa institusi diraja terutamanya dalam hal ehwal permohonan pengampunan.
AGC mengeluarkan kenyataan hari ini bagi merujuk laporan beberapa saluran media semalam mengenai kenyataan pembelaan Najib bahawa keputusan Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum telah mengurangkan kuasa YDPA, Raja-Raja Melayu dan YDPN berkenaan pengampunan.
Justeru, AGC menegaskan sebarang tindakan yang cuba menghasut dan menggugat ketenteraman awam dengan tafsiran yang salah terhadap penghakiman mahkamah adalah amat tidak wajar.
Pada masa sama kata kenyataan itu lagi, semua pihak juga perlu menghormati tindakan untuk merayu yang telah diambil oleh Najib selain AGC akan terus komited mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil. – KOSMO! ONLINE














