ALOR SETAR – Tindakan nekad seorang mekanik mengangkut dadah dipercayai jenis syabu seberat 75 kilogram bernilai RM2.4 juta demi upah RM15,000, menjerat diri apabila kecundang di tangan polis.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan dalam satu operasi di Tol Hutan Kampung, dekat sini pada pukul 5 pagi semalam bersama dadah tersebut yang disembunyikan dalam bungkusan minuman teh di belakang kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan lanjut turut menemukan sepucuk pistol automatik bersama 12 butir peluru 9mm serta sejumlah kecil dadah disyaki syabu dan pil yaba yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang belakang kenderaan terbabit.
“Siasatan mendapati suspek atau pengangkut ini baru sahaja berkecimpung dalam kegiatan ini dan ini kali kedua dengan mendapat upah RM15,000 untuk membawa barang itu yang diserahkan oleh seorang lelaki di Perlis.
“Dadah berkenaan dibawa ke Pulau Pinang untuk diserahkan kepada lelaki yang sama dengan upah RM15,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Tambahnya, lelaki berkenaan juga bertindak agresif dan cuba merempuh anggota ketika serbuan itu untuk meloloskan diri namun berjaya ditahan dalam lokasi berkenaan.
Adzli berkata, suspek juga didapati positif methamphetamine hasil saringan awal serta mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Polis turut menyita sebuah BMW X5, sebuah motosikal Kawasaki, serta wang tunai RM500 dipercayai hasil kegiatannya itu. Suspek direman tujuh hari hingga 28 Disember ini bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














