fbpx
SKUAD takraw negara merangkul dua emas pada temasya Sukan SEA lalu.

Takraw Malaysia sudah atasi Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Legenda sepak takraw Thailand, Pornchai Kaokaew menyifatkan kegagalan pasukannya di temasya Sukan SEA Thailand 2025 sebagai satu tamparan cukup menyakitkan selepas gagal mempertahankan pingat emas dalam acara regu dan berpasukan.

Kekecewaan itu memuncak apabila Thailand bukan sahaja tewas pingat emas acara regu berpasukan kepada musuh tradisi Malaysia, malah skuad Gajah Perang mereka turut gagal melangkah ke final acara regu selepas tumbang mengejut kepada Vietnam di separuh akhir.

Pornchai tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan prestasi semasa pasukan negaranya itu dan menyifatkan Malaysia ketika ini memiliki regu terbaik dunia yang sukar ditumbangkan.

“Apa yang terjadi dengan sepak takraw di Thailand ketika ini saya sangat terkejut. Jika tewas kepada Malaysia tidak mengapa kerana persaingan sengit, tetapi tewas di separuh akhir kepada Vietnam adalah sesuatu yang pelik,” kata Pornchai.

Menurutnya, barisan pemain yang dihantar seperti gandingan Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Marukin Phanmakon merupakan regu terbaik yang dimiliki Thailand ketika ini, namun gagal menepati jangkaan.

Pornchai turut mendedahkan punca utama kejatuhan prestasi Thailand berbanding kebangkitan mendadak Malaysia adalah disebabkan kekurangan kejohanan kompetitif di peringkat domestik seperti liga kompetitif di Malaysia.

“Thailand tidak mempunyai banyak pertandingan. Jika dibandingkan dengan Malaysia, mereka ada STL setiap minggu dan pengurusan kewangan yang baik. Pemain Malaysia sentiasa berada dalam tekanan kompetitif,” jelasnya.

Pornchai turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelibat pemain Malaysia yang memiliki tekong muda seperti Haziq Hairul Nizam yang akan terus menerus mengatasi tekong Thailand.

“Anda lihat Haziq baru berumur 24 tahun dan permainannya cukup luar biasa. Tetapi, 95 peratus pemain Thailand kini berumur lebih dari 30 tahun. Saya rasa lima tahun akan datang, Thailand akan sukar untuk kembali mendominasi sukan ini jika tidak berubah,” tambahnya..

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN