fbpx
FERNANDES terpaksa dikeluarkan pada babak kedua selepas mengalami kecederaan hamstring ketika menentang Villa. - AFP

EPL: United hadapi malang bertimpa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIRMINGHAM – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memberi bayangan bahawa ketua pasukannya, Bruno Fernandes mungkin terpaksa direhatkan untuk seketika selepas mengalami kecederaan ketika mereka tewas 1-2 kepada Aston Villa awal pagi semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Villa Park itu, Fernandes terpaksa dikeluarkan pada babak kedua perlawanan selepas dipercayai mengalami masalah hamstring selepas dia beraksi semua perlawanan musim ini.

Amorim turut tidak menolak kemungkinan bahawa pemain tengah berusia 31 tahun itu bakal terlepas beberapa lagi perlawanan termasuk aksi Boxing Day menentang Newcastle serta awal tahun baharu nanti.

“Ia melibatkan tisu lembut, saya fikir dia akan terlepas beberapa perlawanan. Saya tidak begitu pasti, kita akan tengok perkembangannya nanti.

“Anda tidak dapat mengawal perkara seperti ini. Bruno adalah pemain yang sentiasa cergas, jadi saya harap dia mampu pulih lebih cepat,” katanya.

Kegagalan Fernandes menamatkan perlawanan menyumbang kepada kekalahan United pada aksi kali ini apabila Amorim turut kehilangan Kobbie Mainoo yang mengalami kecederaan betis dan Casemiro yang menjalani hukuman penggantungan.

Pada perlawanan itu, Villa meraih dua gol menerusi Morgan Rogers, manakala gol sagu hati United dihasilkan oleh Matheus Cunha sekali gus menyaksikan mereka gagal memperbaiki kedudukan untuk kekal di tangga ketujuh.

United berada dalam situasi getir ketika ini apabila kehilangan lima pemain apabila Noussair Mazraoui, Amad Diallo dan Bryan Mbeumo menyertai saingan Piala Negara-Negara Afrika, manakala Matthijs De Ligt dan Harry Maguire masih berada di bilik rawatan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN