fbpx
Steven Sim ketika mengunjungi kediaman Auntie Cha Moi di Bukit Mertajam, semalam.

Steven Sim prihatin nasib Auntie Cha Moi tinggal di rumah usang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Siapa sangka dalam usia mencecah 90 tahun, seorang nenek dikenali sebagai Auntie Cha Moi tinggal dalam rumah yang serba kekurangan dan daif.

Rumah kayu yang didiaminya di Kampung Baru Berapit, Bukit Mertajam itu ‘bagaikan retak menanti belah’ apabila sebahagian besar ruang kediamannya dilihat hampir menyembah bumi.

Namun, keperitan yang dihadapi Auntie Cha Moi mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, semalam. Menerusi perkongsian di laman facebooknya, Steven berkata, wanita itu tinggal di rumah peninggalan suami sejak 70 tahun lalu bersama seorang anak perempuannya berusia 57 tahun.

“Anaknya hanya sekadar melakukan kerja kampung. Anak-anak lain ada jaga emak mereka tetapi mereka pun orang susah, masing-masing ada tanggungjawab keluarga. JKM ada membantu sedikit, sekadar cukup-cukup makan.

“Suami Auntie Cha Moi sudah meninggal dunia kira-kira 25 tahun lalu. Kini yang tinggal kenangan hidup sebagai suami isteri. Hari ini rumah itu sudah uzur dan hampir roboh, apatah lagi ketika hujan, airnya menitis ke tempat tidurnya,” katanya.

Tambahnya, dalam usia sebegitu Auntie Cha Moi sepatutnya menikmati hari yang tenang dan bahagia bersama anak-anak.

“Tapi, setiap malam Auntie terpaksa tidur bertemankan bunyi titisan air dari atap bocor, lantai yang retak dan dinding reput. Tiada kipas berfungsi, lantai bilik air licin dan tidak selamat, tiada ruang yang benar-benar selesa untuk seorang warga emas melalui begitu banyak liku kehidupan.

“Apabila saya menziarahi Auntie, hati saya rasa cukup sayu. Tak apa, Steven janji kita akan membina rumah baru, rumah yang selamat, rumah yang bermaruah.

“Kerana tiada siapa yang patut lalui usia senja dalam keadaan begini. Jangan risau Auntie, Tahun Baru Cina ini Steven pastikan Auntie sambut di rumah yang baru,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI