SEREMBAN – Hari keempat penemuan mayat wanita yang dimasukkan ke dalam beg dan ditanam di belakang rumah di Kampung Batu 4, Pedas di Rembau, telah membongkar kejadian pembunuhan itu berlaku di rumah mangsa sendiri dekat Ampang, Selangor.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Muhammad Idzam Jaafar berkata, pergaduhan dan pertelingkahan mulut membabitkan wang tercetus antara suspek utama berusia 51 tahun di rumah mangsa lalu wanita itu dicekik sehingga maut.
“Ini berdasarkan soal siasat serta keterangan awal suspek semalam dan siasatan lanjut masih dijalankan. Namun, mangsa dan suspek yang bukannya suami isteri bergaduh di rumah mangsa di Ampang. Mangsa kemudiannya dicekik dan kemudiannya mayatnya di masukkan ke dalam beg, lalu di bawa ke Pedas, Rembau untuk ditanam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Khamis lalu, suspek pertama iaitu lelaki berusia 41 tahun yang merupakan pemandu e-hailing serta memiliki enam rekod jenayah ditangkap polis di Melaka petang hari yang sama penemuan mayat berkenaan.
Penangkapan tersebut membawa kepada penangkapan suspek utama iaitu lelaki berusia 51 tahun yang merupakan bekas pemandu e-hailing yang kini menganggur di Genting Sempah, Pahang pada petang Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE














