PETALING JAYA – Tindakan ibu bapa yang memenuhkan kotak rayuan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebelum keputusan rasmi diumumkan, mengejutkan ramai orang.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh Hashim Zainal, dia terkejut melihat keadaan kotak rayuan yang sudah dipenuhi surat, sedangkan keputusan kemasukan akan diumumkan minggu hadapan.
“Terkejut saya apabila tengok kotak rayuan SBP ini sudah penuh dengan surat rayuan daripada ibu bapa. Padahal keputusan kemasukan ke SBP, sekolah khusus dan MRSM ni akan hanya diumumkan pada 26 Disember 2025 pukul 12.01 tengah malam.
“Pening sekejap dengan tindakan ibu bapa yang buat rayuan sebelum keputusan. Ayuh ibu bapa sekalian, yakin la yang anak dapat tempat pengambilan kemasukan pertama pada 26 Disember nanti,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Katanya, rayuan bagi pengambilan kedua hanya perlu dibuat secara dalam talian dan tidak memerlukan penghantaran surat fizikal.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-rata turut meluahkan rasa tidak senang dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak mengikut prosedur ditetapkan.
“Kotak ini adalah kotak yang sama untuk rayuan sesi 2025 yang telah pun ditutup. Kotak itu ada dekat situ sebagai kotak pelbagai guna bagi sebarang surat menyurat untuk mengelakkan ibu bapa naik atas. Rayuan pertama selepas 26 Disember dan akan melalui sistem atas talian. Harap faham prosedur,” komen Doc Kelate.
“Pening kepala nak susun nanti. Terpaksa susun semula yang mana dapat keputusan berjaya dan tidak nanti. Sepatutnya hantar rayuan selepas 26 Disember atau selepas kemasukan kedua,” kata Noriah Suria.
“Aduhai ibu bapa sekalian, keputusan belum keluar. Rayuan tu bukan siapa dulu hantar dia dulu dapat,” komen Zulriyana Yusof. – KOSMO! ONLINE














