KULIM – Polis akan merujuk kes seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun yang didakwa dirotan sehingga lebam dalam kejadian di sebuah maahad tahfiz di sini kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, pihak polis akan menantikan keputusan daripada TPR untuk tindakan selanjutnya dan warden terbabit sudah diambil keterangan, namun setakat ini tiada tangkapan atau permohonan reman dijalankan.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis mengambil keterangan seorang warden maahad tahfiz berusia 26 tahun berhubung insiden seorang pelajar lelaki yang dirotan di Sungai Kob, di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.
Sebelum ini, bapa mangsa membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu selepas mendapati lebam pada tubuh anaknya. – KOSMO! ONLINE














