WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak di luar pantai Venezuela semalam, satu tindakan yang disifatkan Caracas sebagai ‘pencurian dan penculikan’, dalam serangan terbaharu kempen tekanan oleh Washington.
Ia merupakan kali kedua dalam tempoh dua minggu pasukan AS menahan kapal tangki di rantau itu, dan berlaku beberapa hari selepas Presiden Donald Trump mengumumkan sekatan ke atas kapal minyak yang menuju dan meninggalkan Venezuela.
“Dalam tindakan sebelum subuh awal pagi ini (semalam), Pengawal Pantai AS dengan sokongan Jabatan Perang menahan sebuah kapal tangki minyak yang sebelumnya berlabuh di Venezuela,” kata ketua Keselamatan Dalam Negeri AS, Kristi Noem dalam satu catatan di platform X.
Catatan itu disertakan dengan video hampir lapan minit bagi rakaman udara menunjukkan sebuah helikopter berlegar-legar tepat di atas dek sebuah kapal tangki besar di laut.
“Amerika Syarikat akan terus mengejar pergerakan haram minyak yang disekat yang digunakan untuk membiayai keganasan narkotik di rantau ini. Kami akan menemui anda, dan kami akan menghentikan anda,” tambah Noem.
Sementara itu, Caracas mengecam rampasan itu sebagai kecurian dan penculikan serta berkata: “Mereka yang bertanggungjawab atas peristiwa serius ini akan bertanggungjawab terhadap keadilan dan sejarah bagi tindakan jenayah mereka.”
Satu catatan daripada Keselamatan Dalam Negeri mengenal pasti kapal itu sebagai Centuries dan mengatakan, ia disyaki membawa minyak yang tertakluk kepada sekatan AS.
Centuries ialah kapal tangki minyak milik China yang berbendera Panama, demikian menurut laman pemantau penghantaran dan penyimpanan minyak, TankerTrackers.
Ia mengatakan bahawa Centuries memuatkan 1.8 juta tong minyak mentah di pelabuhan Venezuela awal bulan ini sebelum dikawal keluar dari zon ekonomi eksklusif Venezuela pada 18 Disember lalu.
Satu tinjauan AFP mendapati bahawa Centuries tidak muncul dalam senarai syarikat dan individu yang dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS. – AFP














