fbpx
Gambar hiasan.

‘Saya pilih bawa Grab sebab tak nak terlepas solat jemaah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kisah seorang pemandu e-hailing yang memilih kerjaya itu kerana mahu memastikan solat lima waktu secara berjemaah terjaga mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai selepas perkongsiannya tular di media sosial.

Menurut perkongsian pengguna TikTok @Toknaga, perbualannya bersama pemandu itu bermula apabila lelaki berusia 50-an tersebut dengan merendah diri menyatakan latar pendidikannya hanya setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya ini tak pandai sangat (belajar), sekolah sampai SPM. Dapat pangkat empat. Itu yang rezeki saya bawa Grab,” kata pemandu tersebut.

Bagaimanapun, lelaki itu membalas rezeki bukan ditentukan oleh tahap pendidikan semata-mata, sebaliknya datang daripada Allah SWT mengikut jalan dan keizinan-Nya, selain berkongsi contoh individu lain yang berjaya dengan kelebihan masing-masing.

Perbualan mereka bertambah menarik apabila pemandu tersebut menceritakan kehidupannya sebelum ini yang hampir lima tahun membuat murtabak, namun jarang berpeluang menunaikan solat secara berjemaah.

“Saya rindu sangat nak solat jemaah. Walaupun dapat solat, jarang betul dapat berjemaah. Sampai satu hari saya jumpa bos dan minta berhenti kerja,” ujarnya.

Kata pemandu tersebut, keputusan itu pada awalnya tidak dipersetujui isterinya, namun niatnya semata-mata mahu menjaga solat jemaah akhirnya menjadi pendorong utama untuk dia beralih membawa Grab sebagai sumber rezeki.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu terlibat dalam perkhidmatan e-hailing, dia tidak pernah meninggalkan solat jemaah bermula dari subuh hingga isyak setiap hari, malah tiba awal di masjid untuk berzikir sebelum menyambung kerja hingga malam.

Lebih mengejutkan, pemandu itu berkata kehidupannya menjadi semakin tenang dan rezekinya dipermudahkan, termasuk berjaya membeli sebuah lagi rumah yang dijadikan ‘homestay’, selain anak-anaknya membesar dengan baik.

“Saya tak tahu rezeki datang dari mana, saya dapat beli satu lagi rumah dan tukar jadi ‘homestay’ (inap desa). Sekarang ini, orang kata duit itu sentiasa ada lah.

“Anak pun dah besar. Saya pun dah 50 tahun. Kalau isteri nak ajak saya kemana-mana, saya terus je cuti. Senang. Tak ada apa nak dikejar dah. Yang nak dikejar cuma tinggal satu saya nak kejar solat jemaah,” kongsinya.

Perkongsian itu membuatkan pengguna TikTok tersebut berasa kerdil dan hampir menitiskan air mata. Dia turut menyifatkan pertemuan dengan insan baik itu sebagai rezeki besar dan peringatan tentang erti sebenar ketenangan hidup.

“Saya pun tak tahu, yang saya tahu, jumpa orang yang baik-baik macam semalam (baru-baru ini) pun dikira rezeki besar untuk saya. Saya belajar sesuatu. Terima kasih ya Allah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN