fbpx
Zulkifli

Tiada larangan premis halal pasang hiasan perayaan lain – Zulkifli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tiada larangan dikenakan untuk mana-mana premis halal menggunakan hiasan perayaan agama lain seperti yang telah diputuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dua tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam satu kenyataan berkata, hal tersebut tertakluk kepada beberapa syarat termasuk penggunaan hiasan terbabit tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban serta tidak melibatkan paparan logo dan sijil pengesahan halal.

“Manakala hiasan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal adalah dibenarkan dan penggunaan peralatan sembahan pula tidak dibenarkan.

“Ia adalah sebagaimana keputusan yang dibuat oleh Jakim pada 2023 bahawa tiada larangan dikenakan kepada pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) namun perlu tertakluk kepada syarat berkenaan.

“Keputusan ini terpakai kepada isu dekorasi hiasan perayaan selain Islam di bahagian dapur atau outlet hotel yang mempunyai SPHM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Zulkifli berkata, pihak industri digalakkan terus mematuhi piawaian halal sedia ada tanpa mengetepikan aspek keharmonian kaum kerana sifat menghormati kepelbagaian budaya serta agama di negara ini adalah sebahagian identiti masyarakat majmuk.

Tambahnya, hotel dan premis makanan halal dinasihatkan sentiasa merujuk pihak berkuasa pensijilan halal bagi mendapatkan panduan jelas bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap piawaian ditetapkan.

“Kerjasama erat antara pihak berkuasa Islam negeri, Jakim dan pemain industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan garis panduan halal dilaksanakan secara berhemah dan mengambil kira kepentingan umat Islam dan keharmonian masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menyeru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meneliti semula keputusan larangan hiasan perayaan terbabit bagi premis halal di negeri itu.

Akmal berkata, penentuan halal bagi makanan dan minuman bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan dan cara penyediaan, bukannya elemen dekorasi di premis.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee turut menggesa kerajaan Melaka mengesahkan sama ada premis makanan dan hotel yang mempunyai sijil halal di negeri itu dilarang memasang hiasan Krismas.

Beliau turut menyarankan JAIM menarik balik larangan kerana arahan sedemikian satu langkah ke belakang bagi negeri berkenaan.

Terdahulu, tular surat pekeliling Jaim menyatakan larangan hiasan Krismas di premis mana-mana hotel atau cawangan di Melaka yang mempunyai sijil halal, memandangkan Krismas adalah sambutan keagamaan, bukan kebudayaan dan boleh ‘menimbulkan isu berkaitan akidah’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI