JAKARTA – Penduduk di Aceh Tengah, wilayah Aceh berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer untuk mendapatkan bantuan demi kelangsungan hidup selepas banjir kilat dan tanah runtuh mula surut, lapor portal berita Lambe Turah.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @chibro_14 menunjukkan lautan manusia berjalan beramai-ramai di sepanjang laluan sebuah gunung yang dipenuhi lumpur dan tanah.
Ada antara mereka termasuk wanita dan kanak-kanak membawa muatan berat seperti guni berisi bekalan makanan dan tabung gas memasak.
Situasi itu tercetus apabila lalun dan jambatan utama runtuh, menyebabkan kenderaan empat dan dua roda tidak dapat melaluinya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 585,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Pemerintah di mana? Lihat rakyatmu!” kata seorang netizen.
“Sepatutnya isytihar Bencana Nasional!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














