fbpx
Majistret menetapkan 16 Januari tahun depan untuk laporan lengkap itu dikemukakan ke mahkamah. - GAMBAR HIASAN

Tikam pelajar: Mahkamah tetapkan 16 Januari bagi laporan psikiatri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak memerlukan masa lagi tiga bulan untuk menilai tahap mental pelajar lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Oktober lalu.

Sehubungan itu, peguam bela, Kitson Foong memohon tarikh baharu untuk laporan lengkap penilaian psikiatri remaja terbabit sewaktu sebutan kes itu di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal di sini hari ini.

Majistret kemudian menetapkan 16 Januari tahun depan untuk laporan lengkap itu dikemukakan ke mahkamah.

“Pihak hospital juga perlu menemu bual ahli keluarga serta menyediakan dokumentasi sejarah tingkah laku tertuduh di rumah dan di sekolah. Kesemua maklumat itu akan diperoleh dengan bantuan pegawai penyiasat,” kata peguam itu ketika ditemui selepas tamat prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Peguam turut memberitahu, anak guamnya itu tidak hadir ke mahkamah kerana masih menjalani rawatan dan penilaian psikiatri sejak 22 Oktober lalu.

Tambahnya, pelajar lelaki itu berada dalam keadaan baik dan menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan.

“Setahu saya, sepanjang berada di hospital dia memberikan maklum balas yang baik,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Tiga (kelas peralihan) di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, pada 14 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau tempoh tertentu, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, mangsa ditemukan meninggal dunia di tandas sekolah berkenaan dan disyaki ditikam berulang kali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI