KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan menegaskan bahawa tiada istilah ‘bulan madu’, sejurus dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia, Selasa lalu.
Menurut beliau, tanggungjawab harus dilaksanakan dengan segera berikutan masih ramai rakyat yang perlu dibantu.
“Hari pertama saya ‘clock in’ dan hari ini, saya sudah ada di Perkeso. Tak ada masa untuk bulan madu sebab ramai rakyat yang memerlukan bantuan.
“Saya akan pastikan dalam beberapa hari, saya akan mengenali Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) secara lebih mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai mengadakan lawatan kerja rasmi sulung ke Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu Kesuma.
“Dengan pengalaman, iltizam dan kepimpinan beliau, Perkeso akan terus memainkan peranan bukan sekadar sebagai pelaksana dasar, malah sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina negara berdaya tahan dan menjamin kesejahteraan sosial rakyat,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, anggota Kabinet yang baharu dilantik atau bertukar portfolio diingatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan tanpa memahami sepenuhnya pengurusan dan dasar kementerian masing-masing.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun tiada tempoh masa khusus ditetapkan oleh Perdana Menteri, namun anggota Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa tiada konsep ‘bulan madu’ diberikan kepada menteri baharu.
Beliau berkata, perkara itu ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung Rabu lalu. – KOSMO! ONLINE














