APABILA nama Ezad Lazim disebut, memori khalayak segera terbang ke era kegemilangan Exists, kumpulan balada ikonik tanah air.
Suara lunaknya pernah dan masih menjadi penawar luka cinta generasi 1990-an, menyelinap ke relung jiwa pendengar tanpa perlu jeritan atau irama keras.
Ezad melangkah ke dunia seni sebagai vokalis Exists menerusi album Diammu Gunung Berapi pada 1995, menggantikan Mamat.
Keputusan besar tersebut bukan hanya pertukaran posisi, tetapi taruhan nasib dan masa depan dalam industri muzik yang sedang mendidih.
Nasib menyebelahi, Exists terus mencipta fenomena. Album demi album mendominasi carta radio, lagu-lagu mereka menjadi siulan sepanjang zaman, sementelah nama Ezad terpahat sebagai suara utama penyambung legasi.
Terlalu banyak catatan, pertemuan eksklusif kali ini bukan sekadar menyingkap kegemilangan silam Ezad, namun menelusuri sisi penyanyi berusia 46 tahun itu yang jarang diperhalusi baik perihal peribadi mahupun kerjaya.
Ezad pernah melalui episod sakit berpanjangan dengan tubuh susut dan wajahnya berubah. Ketika itu, timbul dakwaan liar kononnya dia menjadi mangsa sihir dan perbuatan khianat.
Bertemu empat mata dengan pemilik nama sebenar Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim itu, penulis mendapatkan penjelasan daripada empunya badan.

Keresahan melampau
“Awalnya saya rasa badan tidak seperti dahulu, selalu muntah, senang sakit. Saya berubat sana sini, jumpa macam-macam orang. Ada yang kata terkena buatan orang, kena sihir sebab dengki. Saya pening, mana satu benar? Di situ masalahnya.
“Akhirnya, saya berserah kepada Tuhan. Kalau ada orang ‘buat’ saya, biarlah Tuhan balas. Kalau Tuhan nak beri sakit ini, saya terima. Sampai satu tahap, kalau Tuhan nak tarik nyawa pun, saya reda.
“Masa itu arwah mak ayah masih ada. Mereka jaga saya. Isteri pula urus anak kecil, sekolah semua. Saya minta balik kampung, berbulan-bulan juga. Isteri datang melawat bila sempat,” ceritanya kepada HibGlam.
Hakikat sebenar terbongkar apabila anak jati Kedah itu mendapatkan rawatan moden, sekali gus mengesahkan dirinya berdepan masalah Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) serta anxiety melampau, bukan sihir seperti didakwa.
“Doktor sahkan saya ada GERD, berkait rapat dengan ‘anxiety’. Kerisauan melampau buat badan jadi lemah. Sampai sekarang pun proses untuk atasi benda ini berjalan perlahan. ‘Anxiety’ ini bukan terus hilang, kadangkala datang semula bila tekanan datang.
“Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kehilangan mak, kemudian ayah, lepas itu adik pula. Rumah pula dilanda banjir. Semua datang serentak. Waktu itu saya ‘overthinking’, ‘anxiety’ datang balik. Saya langsung tak boleh menyanyi.
“Doktor buat prosedur kecil, kecilkan sedikit bahagian ulu hati. Lepas pembedahan, pernafasan rasa lain sikit. Ambil masa lebih setahun untuk biasakan diri. Alhamdulillah, selepas itu saya mula menyanyi balik. Perlahan-lahan, saya belajar semula,” ujarnya.
Kenyataan tersebut sekali gus menepis dakwaan tubuhnya susut akibat perbuatan hasad orang sekeliling.
“Kesimpulannya saya kurus sebab GERD dan anxiety, doktor yang sahkan. Saya kena jaga pemakanan, gaya hidup, dan pemikiran. Saya kena kuat, kena positif. Walaupun bukan mudah, sebab bila pernah ada anxiety, kerisauan adakalanya datang tanpa dijemput.
“Dahulu satu hari boleh ambil dua, tiga persembahan. Sekarang saya tak kejar macam itu lagi. Satu hari satu kerja. Saya nak tenang. Kalau terkejar-kejar, badan dan emosi jadi tegang. Saya belajar jaga diri,” kongsinya.

Gangguan sinus
Bukan itu sahaja, pelakon filem Mami Jarum Junior itu turut berdepan ujian kesihatan lain apabila masalah sinus mula mencuri ruang dalam hidupnya.
Gangguan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada vokal, namun sehingga kini, dia masih menangguhkan keputusan menjalani pembedahan kerana tidak sanggup berehat terlalu lama daripada dunia seni.
“Saya dapatkan rawatan susulan. Buat masa ini doktor sarankan makan ubat dan jaga gaya hidup. Banyak benda perlu dielakkan. Semua kembali kepada cara hidup juga.
“Bila saya tanya perlu atau tidak buat pembedahan, doktor kata setakat pemeriksaan sekarang, masih boleh bertahan. Belum terlalu kritikal. Kalau buat pembedahan, saya perlu berehat lama, mungkin sekitar enam bulan. Itu yang buat saya fikir panjang,” jelasnya.
Mengakui sinus memberi kesan kecil terhadap teknik nyanyian, pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 2 itu tidak menafikan perubahan dirasai, terutama apabila berada di atas pentas.
“Suara saya memang sengau sejak dahulu. Orang kenal saya dengan suara hidung. Dari luar mungkin tak nampak beza sangat, tapi sebagai penyanyi, saya rasa ada perbezaannya. Faktor usia pun main peranan. Teknik menyanyi tak boleh sama macam dahulu, kena ubah sikit supaya lebih selesa,” ungkapnya.

Lebih yakin
Biarpun berdepan cabaran kesihatan, bapa dua anak itu turut menerima pujian peminat apabila penampilannya kini kelihatan lebih kemas dan segak, rambut pun semakin lebat.
Bukan melakukan prosedur tanam rambut, Ezad bersyukur dahinya perlahan-lahan dapat ditutup dengan pertumbuhan rambut baharu selepas mencuba beberapa produk kesihatan.
“Bukan tanam rambut. Saya cuma ambil satu produk, ada suplemen, ubat dan hair tonic. Alhamdulillah, nampak kesannya. Kalau nak banding sebelum ini, keadaan dahulu jauh lebih teruk.
“Saya baru setahun guna. Tak berani nak cakap kesan jangka panjang sebab semua bergantung pada hormon dan badan masing-masing,” katanya.
Paling penting katanya, perubahan tersebut memberi lonjakan keyakinan, terutama ketika berhadapan peminat atau tampil membuat persembahan.
“Sekarang saya jarang pakai topi. Dahulu memang tak berani buka. Walaupun tak sempurna, sekurang-kurangnya lebih yakin daripada dahulu.
“Dahi jendul itu memang orang dah tahu. Tak boleh buat apa. Tapi sekurang-kurangnya bahagian belakang dah nampak lebih baik. Itu pun cukup buat saya rasa yakin,” tutupnya.
Dalam perkembangan lain, Ezad dijadualkan tampil bersama Exists menerusi Konsert Exists Premium Live @ PJ malam ini di JioSpace, sekali gus membuktikan semangat dan cintanya terhadap seni masih menyala, meskipun diuji usia dan kesihatan.














