KUALA LUMPUR – Mantan Ketua Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE), Datuk Shalin Zulkifli menzahirkan penghargaan kepada Hannah Yeoh sepanjang khidmatnya sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Shalin menyifatkan tempoh kerjasama bersama Hannah sebagai detik bersejarah yang membawa perubahan cukup besar kepada kebajikan atlet Malaysia.
Legenda sukan boling negara itu berkata, pelbagai dasar yang selama ini diimpikan ketika bergelar atlet dapat direalisasikan ketika Hannah mengetuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Antara pencapaian utama yang berjaya mengubah lanskap sukan negara termasuk kenaikan gaji atlet serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Tidak ketinggalan adalah pelaksanaan cuti bersalin dan cuti paterniti, pengecualian cukai kepada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), Sukan Selamat serta Simposium Sukan Selamat Antarabangsa.
“Terima kasih YB (Hannah) atas segala usaha yang dilakukan ketika bergelar Menteri Belia dan Sukan. Satu penghormatan untuk saya kerana dapat bekerja bersama anda ketika mengetuai MACE.
“Saya bersyukur kerana banyak pencapaian sudah dilakukan, terutamanya yang melibatkan kebajikan atlet semasa anda memimpin. Saya juga menjadi sebahagian daripada perubahan polisi yang diimpikan ketika bergelar atlet,” kata Shalin.
Terdahulu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu, menggantikan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa. – KOSMO! ONLINE














