fbpx
Azrin (kiri) menunjukkan pemakaian BWC kepada salah seorang anggota JPJ semasa Operasi Perang Lebih Muatan di Kajang, malam tadi. - IHSAN JPJ

Alat perakam badan tingkat pematuhan kenderaan berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Pemakaian alat perakam badan (BWC) didapati berjaya meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan kenderaan perdagangan, khususnya yang melibatkan muatan berat di Selangor.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, hasil pemantauan mendapati kebanyakan pihak terlibat sudah mula mematuhi arahan yang ditetapkan selepas pelaksanaan penggunaan BWC, terutama kenderaan membawa muatan berat.

“Pemerhatian kami menunjukkan kebanyakan kenderaan kini mematuhi had muatan yang dibenarkan dan berada pada paras yang baik,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu Khas JPJ Selangor di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan lebih tegas akan diambil bergantung kepada tahap pelanggaran dilakukan.

“Sekiranya didapati muatan melebihi had pada tahap tertentu, kenderaan terbabit akan ditahan dan tindakan penguatkuasaan yang lebih berat akan dikenakan,” jelasnya.

Azrin berkata, penguatkuasaan turut melibatkan pemantauan di beberapa lokasi berisiko tinggi termasuk kawasan kuari, yang dikenal pasti sebagai antara tumpuan kenderaan berat.

Menurutnya, purata tiga individu ditahan setiap hari melibatkan pemandu lelaki berusia sekitar 34 tahun.

Katanya, penggunaan BWC yang mula dilaksanakan kira-kira seminggu lalu menerima maklum balas positif dalam kalangan anggota penguat kuasa.

“Setakat ini, anggota memberikan respons positif terhadap pemakaian BWC dan semua pergerakan serta tindakan telah direkodkan,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan sejak penggunaan peralatan tersebut diperkenalkan.

Ditanya sama ada jumlah BWC akan ditambah, Azrin berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan Ibu Pejabat JPJ.

“Dari segi keperluan, jumlahnya tidak terlalu banyak kerana pemakaian tertumpu kepada anggota barisan hadapan. Selain itu, BWC juga ditempatkan di kawasan-kawasan tertentu seperti KBJ, SBT, resit dan lokasi berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata sebanyak 100 unit BWC akan digunakan pegawai penguatkuasa JPJ membabitkan ibu pejabat dan JPJ negeri dengan peruntukan RM2.3 juta bagi fasa pertama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI