fbpx
MOHD. ASRI (kiri) bersama Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan pada pelancaran Program Biasiswa AIA Penyala Harapan, baru-baru ini.

AIA PUBLIC Takaful peruntuk RM1.6 juta lancar Biasiswa Penyala Harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – AIA PUBLIC Takaful Bhd. melancarkan Program Biasiswa AlA Penyala Harapan bagi memperkasa pelajar Malaysia yang berpotensi tinggi, dengan peruntukan RM1.6 juta.

Program biasiswa itu direali­sasikan menerusi sumbangan le­bihan takaful peserta sijil AIA PUBLIC Takaful yang disalurkan secara kolektif ke dalam Tabung Amal AIA Penyala Harapan, iaitu dana khas bagi menyokong pelbagai usaha kebajikan demi kesejahte­raan komuniti di seluruh negara.

Dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Bahagian Tabung Wakaf UIAM (IEF), biasiswa tersebut ditawarkan kepada pelajar tahun pertama ijazah sarjana muda dalam bidang Perbankan Islam, Kewangan Islam dan Undang-undang.

Peruntukan disediakan bagi menyokong 20 penerima biasiswa kohort pertama, meliputi yuran pengajian serta kos sara hidup sepanjang tempoh pengajian sehingga empat tahun.

Selain itu, penerima juga berpeluang menjalani latihan industri bersama AIA PUBLIC Takaful, tertakluk kepada pencapaian akademik dan keperluan program.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Mohd. Asri Omar berkata, pendidikan merupakan antara kaedah terbaik untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

“Program biasiswa ini adalah ini­siatif pertama yang direalisasikan melalui Tabung Amal AIA Pe­nyala Harapan.

“Dengan UIAM sebagai rakan universiti, kami komited membentuk pelajar bersemangat dan berwawasan agar mereka mampu membina masa depan serta membawa impak positif kepada diri, keluarga dan komuniti,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu turut mencerminkan proposisi unik AIA PUBLIC Takaful iaitu Penyelesaian Syariah Menyeluruh yang berlandaskan prinsip maqasid syariah, sekali gus membuktikan takaful bukan sekadar perlindu­ngan, malah membawa makna kebersamaan dan keberkatan.

“Melalui tonggak Berkat Sama-Sama, pelanggan dapat mendermakan lebihan takaful mereka demi kesejahteraan masyarakat. Kepercayaan yang diberikan pe­langgan membolehkan golongan belia dibantu untuk mengejar aspirasi akademik dan membina kerjaya bermakna,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti UIAM, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin berkata, kerjasama bersama AIA PUBLIC Takaful selari dengan komitmen pihaknya untuk melahirkan graduan holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan nilai etika.

“Biasiswa ini bukan sahaja membantu pelajar mencapai matlamat akademik mereka, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan sektor kewangan Islam dan sektor utama lain.

“Ia juga mengukuhkan sema­ngat tanggungjawab bersama dalam komuniti takaful,” katanya.

Pemilihan penerima biasiswa dibuat berdasarkan gabungan prestasi akademik, keperluan kewangan serta aspirasi masa depan yang jelas, dengan Bahagian IEF akan memainkan peranan menilai calon, menyediakan bimbingan akademik dan memantau perkembangan pelajar sepanjang tempoh pengajian.

Pelajar yang layak dan telah menerima tawaran kemasukan bagi kursus ijazah sarjana muda yang dinyatakan di UIAM digalakkan untuk memohon melalui Bahagian IEF, atau layari laman sesawang AIA untuk maklumat lanjut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI