fbpx
Pintu antarabangsa Wang Kelian dekat Padang Besar dibuka secara free flow untuk penduduk setempat.

Pintu antarabangsa Wang Kelian dibuka secara ‘free flow’ terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Pintu Antarabangsa Wang Kelian kembali dibuka dengan pelaksanaan konsep aliran bebas atau ‘free flow’ secara terkawal bagi memudahkan pergerakan penduduk setempat antara kawasan Wang Kelian dan Wang Prachan, Thailand.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail berkata, keputusan pembukaan laluan tersebut dibuat hasil mesyuarat bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang turut melibatkan JIM negeri, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri serta Majlis Keselamatan Negara semalam.

“Pembukaan itu mengambil kira permintaan penduduk kampung di kedua-dua kawasan serta keperluan asas harian mereka yang saling bergantung antara satu sama lain.

“Penduduk Wang Prachan memerlukan akses ke kawasan Wang Kelian di Malaysia bagi mendapatkan bekalan bahan bakar dan keperluan tertentu, manakala penduduk Wang Kelian pula bergantung kepada pasar Wang Prachan di Thailand untuk mendapatkan keperluan harian,” katanya.

Wang Kelian sebelum ini antara kawasan yang terjejas teruk susulan 11 kejadian runtuhan cerun sehingga menyebabkan laluan tersebut ditutup kepada kenderaan berat ketika banjir melanda Perlis hujung November lalu.

Rahimi berkata, laluan berkenaan turut dibuka kepada orang ramai terutama melibatkan kes kecemasan, namun masih dilaksanakan dalam keadaan terkawal dan terhad.

“Kawalan akan dilaksanakan di pintu masuk utama dengan jumlah kenderaan yang dibenarkan keluar masuk dihadkan bagi mengelakkan kesesakan serta memastikan keselamatan pengguna.

“Kawalan ini perlu kerana kerja-kerja pembinaan dan penambahbaikan jalan masih dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN