fbpx
Mahfuz

Bak kut teh makanan warisan selaras realiti Malaysia negara majmuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pendaftaran bak kut teh (hidangan sup babi) sebagai makanan warisan kebangsaan bukan pengisytiharan makanan nasional, bukan galakan untuk orang Islam makan bak kut teh dan bukan juga agenda untuk menghapus budaya Melayu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ia hanyalah proses pendokumentasian sejarah makanan komuniti selaras dengan realiti Malaysia sebagai negara majmuk.

Sehubungan itu, beliau membidas serangan pembangkang konon budaya Melayu dibunuh hanya kerana bak kut teh didaftarkan sebagai makanan warisan kebangsaan pada tahun 2024.

“Naratif dangkal, berbahaya dan memalukan akal Melayu sendiri. Fakta ini mudah, tetapi sengaja diputar belit. Bak kut teh bukan ciptaan Anwar Ibrahim (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Ia telah wujud dan dijual secara terbuka di Malaysia sejak puluhan tahun. Kenapa ketika itu pembangkang senyap? Ini bukan soal makanan, ini soal kebencian politik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz yang juga Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata, warisan kebangsaan tidak sama dengan aspek halal kerana halal ditentukan oleh hukum syarak, bukan oleh Jabatan Warisan Negara.

Justeru, katanya, Islam tidak terancam kerana kerajaan mengiktiraf kewujudan budaya lain, sebaliknya terancam apabila agama dijadikan modal politik, ketakutan ditanam dalam minda dan kebencian dijual sebagai perjuangan.

“Kalau logik songsang pembangkang diterima, maka sejarah, budaya dan warisan bukan Islam tidak boleh langsung dikaji, didokumen atau diiktiraf. Ini bukan Islam, ini ketakutan bodoh yang menyamar sebagai agama,” katanya.

Ujar Mahfuz, budaya Melayu tidak mati kerana warisan kaum lain diiktiraf, sebaliknya budaya Melayu mati apabila pemimpinnya menipu bangsa sendiri dah maruah Melayu dipertaruhkan demi undi.

“Melayu dianggap selemah itu kononnya boleh hilang identiti kerana satu hidangan makanan. Hakikatnya mudah. Bak kut teh tidak membunuh Melayu. Politik bodoh dan penipuan yang cuba membunuh keyakinan Melayu. Jangan hina Islam dan Melayu dengan naratif murahan ini.

“Melayu yang yakin dengan jati diri dan Islam yang matang tidak takut kepada kepelbagaian, sebaliknya takut kepada kepimpinan yang memperbodohkan rakyatnya sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI