KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, sekiranya permohonan semakan kehakiman berhubung perintah adendum dibenar, bekas perdana menteri itu akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Peguam Tan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, ia yang mana Najib akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta.
“Saya ingin menegaskan bahawa jika keputusan memihak kepada kami, beliau mesti menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dengan serta-merta. Saya faham persiapan perlu dibuat di kediaman itu, namun saya percaya beliau mesti dibenarkan pulang tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan kemudian (jika mahkamah berpihak kepada Najib), Muhammad Shafee berkata ia tidak akan menjejaskan keputusan mahkamah itu.
Sebelum ini, media melaporkan, keputusan kerajaan atau enam pihak lain untuk mengesah dan melaksanakan Titah Adendum terhadap Najib diawalkan kepada 22 Disember ini yang mana keputusan itu akan diberi Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching selepas selesai mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.
Berdasarkan surat daripada firma guaman Shafee & Co yang dialamatkan kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Syeela Marlina Uttaman menyatakan pemohon (Najib) meminta pertimbangan semula tarikh keputusan.
Ia menyatakan pemohon dengan memohon tarikh keputusan dibawa lebih awal, tertakluk kepada ketersediaan dan budi bicara hakim.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum, dipercepatkan pendengarannya di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE














