fbpx
JOE EE

Sukan SEA: Joe Ee terpaksa akhiri karier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Tidak mampu lagi menahan kesakitan akibat kecederaan, bintang gimrama negara, Ng Joe Ee mengesahkan persaraannya serta-merta pada usia 20 tahun selepas sekadar raih gangsa di Sukan SEA Thailand 2025, kelmarin.

Pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu mengakui keputusan berat tersebut terpaksa diambil apabila tubuhnya tidak lagi memberikan tindak balas seperti dahulu dan merasakan sudah tiba masanya untuk berundur.

Jelas Joe Ee, walaupun usianya dianggap masih muda bagi sesetengah pihak, terpaksa bergelut dengan pelbagai kecederaan terutama sakit di bahagian leher, belakang badan serta kecederaan baharu di buku lali kiri memberi tekanan kepadanya.

Tegasnya, sebelum menyertai temasya dwitahunan tersebut dia turut mengambil lebih enam suntikan ubat tahan sakit dan berehat sebulan sebelum kembali menjalani latihan.

“Saya tahu ramai yang terkejut kerana saya baru berusia 20 tahun sedangkan atlet lain mampu bertahan sehingga 24 atau 25 tahun, tetapi ini soal badan saya. Kesihatan saya lebih penting.

“Badan saya sudah tidak mampu bertahan. Sakit belakang saya sudah lama dialami sejak Sukan Komanwel dan kini ditambah dengan kecederaan buku lali kiri.

“Apabila saya melompat dan mendarat dengan kaki kiri serta ketika saya mengimbangi badan, begitu menyakitkan. Saya menahan kesakitan ini hampir sebulan.

“Setiap kali melangkah masuk ke pintu pusat latihan, hati saya berasa sangat berat. Saya sering berfikiran negatif bahawa saya tidak mampu lakukannya lagi.

“Jadi, apabila tiba masanya untuk berhenti, saya perlu berhenti. Saya tidak boleh tahan lagi,”katanya dalam nada sebak.

Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Joe Ee mengesahkan akan beralih ke bidang kejurulatihan untuk melatih bakat muda di peringkat kelab, namun menolak sebarang kemungkinan untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI