JOHOR Darul Ta’zim (JDT) enggan kelab lain menjadi ‘pengacau’ dalam misi mengekalkan penguasaan di peringkat domestik buat tahun ketiga berturut-turut menjelang aksi final Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.
Pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz mengakui pasukannya terdesak untuk meneruskan kesinambungan mendominasi saingan tempatan selepas melakar hatrik trebel sejak tahun 2022.
“Saya harap dapat berikan prestasi maksimum kerana pasukan sudah ada perancangan khusus kerana ini adalah aksi final. Saya menuntut agar pemain berikan 200 peratus di atas padang.
“Selain itu, cukup penting buat pasukan kekalkan kejuaraan memandangkan misi untuk melihat JDT kekal mendominasi saingan di negara ini.
“Saya sangat berharap kita dapat meneruskan kesinambungan apa yang telah dilakukan oleh pasukan musim lalu walaupun sedar mana-mana aksi final sangat sukar,” katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir di SNBJ semalam.
Dalam masa sama, jurulatih dari Sepanyol itu menyeru agar pasukan tidak memandang rendah keupayaan Sabah yang berjaya menyingkirkan pasukan pilihan, Selangor FC di separuh akhir.
“Sabah adalah pasukan berkualiti dan kita telah melakukan analisis corak permainan mereka ketika bertemu Selangor. Saya tak mahu terlalu fikirkan kekuatan lawan kerana fokus dengan persiapan pasukan,” katanya.
Sementara itu, JDT agak tempang pada aksi final malam ini tanpa kelibat beberapa tonggak utama seperti Juan Muniz, Arif Aiman Hanapi, Ager Aketxe dan Bergson da Silva.
Kapten JDT, Natxo Insa berpandangan krisis kecederaan serius yang membadai skuad utama ketika ini adalah salah satu ‘asam garam’ dalam dunia bola sepak.
“Ia bukan isu kerana kita memiliki skuad yang besar dan semua pemain cukup bermotivasi untuk beraksi di pentas final.
“Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi tetapi kita tetap perlu harumkan nama pasukan dan beraksi dengan baik demi penyokong setia,” katanya.
Sebagai rekod, JDT yang telah menjuarai trofi Piala FA tiga kali berturut-turut, kali terakhir tewas di pentas final adalah empat tahun lalu selepas kalah 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021. – KOSMO! ONLINE














