VIENNA – Austria meluluskan rang undang-undang (RUU) yang mengharamkan pemakaian tudung di sekolah bagi kanak-kanak perempuan bawah umur 14 tahun, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Kerajaan gabungan konservatif Austria yang terdiri daripada tiga parti berhaluan tengah, Parti Rakyat Austria (OVP), Parti Demokratik Sosial (SPO) dan Parti Liberal (Neos) mengatakan bahawa undang-undang itu adalah komitmen jelas terhadap kesaksamaan jantina.
Larangan itu terpakai buat kanak-kanak perempuan di sekolah awam dan swasta.
Pada tahun 2020, Mahkamah Perlembagaan membatalkan larangan serupa bagi kanak-kanak perempuan bawah 10 tahun dengan alasan ia bersifat diskriminasi kepada umat Islam.
Rang undang-undang baharu itu melarang pelajar perempuan bawah 14 tahun daripada memakai penutup kepala seperti tudung atau burka.
Pelajar yang melanggar larangan itu berdepan perbincangan antara pihak sekolah dan penjaga sah mereka.
Bagi kes pelanggaran berulang, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan denda sehingga €800 (RM3,800).
Pemimpin-pemimpin kerajaan menyatakan bahawa larangan itu akan melindungi kanak-kanak perempuan daripada penindasan.
Ketua Parlimen Neos, Yannick Shetty berkata, larangan tersebut bukan bertujuan menentang agama tetapi melindungi kebebasan kanak-kanak perempuan di negara itu sambil menambah, kira-kira 12,000 kanak-kanak akan terkesan. – AGENSI














