SEBERANG PERAI – Suspek yang disyaki bertindak membunuh isterinya dan menyimpan mayat wanita itu selama empat hari di dalam bilik tidur rumah sewa mereka di flat Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini akan direman pagi ini.
Permohonan reman terhadap lelaki berusia 28 tahun itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, kira-kira pukul 9 pagi nanti.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi Kosmo! di sini, malam tadi.
“Ya, suspek akan dibawa reman esok (hari ini) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang suami bukan sahaja tergamak membunuh isterinya dengan senjata tajam malah, menyimpan mayat wanita itu di dalam bilik selama empat hari dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang jaya di sini.
Kejadian tragis itu terbongkar selepas suspek yang juga penganggur tampil menyerah diri di balai polis berhampiran, pagi semalam.
Pasangan tersebut dipercayai telah mendirikan rumahtangga sejak dua tahun lalu dan mangsa yang berusia 44 tahun sebelum itu merupakan janda kepada lima anak. -KOSMO! ONLINE














