BENTONG – Hasrat seorang lelaki bersama isteri untuk melawat bapa saudaranya yang sedang sakit di Pulau Pinang berakhir tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Bentong-Kuala Lumpur berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman di sini pada Rabu.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu menyebabkan Mohd. Nazri Md. Salleh, 51, yang berada di tempat duduk hadapan dan Karmilawati Muhamad Yaakob, 51, yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ibu Mohd. Nazri, Latifah Ahmad, 71, berkata, anak sulungnya itu bersungguh untuk melawat bapa saudaranya dan telah mengajak semua adik-beradiknya.
“Arwah telefon semua adik-adiknya tengah hari semalam (kelmarin) dan beria mengajak mereka ziarah Pak Long yang sedang sakit di Pulau Pinang.
“Tidak sangka pula dia ‘pergi’ dulu’. Kali terakhir jumpa arwah dua minggu lalu. Masa itu pun, dia merancang nak ziarah Pak Long dia (abang Latifah) dan ajak untuk pergi bersama.
“Tetapi hasrat arwah tidak kesampaian, dan makcik sendiri terkejut dengan kejadian menimpa arwah dan isterinya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Bentong semalam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri maut, manakala anak lelaki mereka parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan.
Pemandu kereta Proton Iswara berusia 23 tahun dan pemandu Mercedes-Benz berumur 40 tahun mengalami kecederaan.
Difahamkan, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan ke arah Bentong, manakala kereta jenis Mercedes-Benz dari arah bertentangan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Iswara telah tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa meninggal dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Latifah berkata, semasa kejadian, mereka dalam perjalanan menghantar anak yang merupakan anggota tentera ke Kem di Bentong.
“Mak cik belum lagi berkesempatan ‘berjumpa’ dengan arwah. Selepas semuanya selesai, jenazah akan dibawa ke Kampung Pulau di Labu, Negeri sembilan atas permintaan keluarga arwah menantu saya,” katanya.
Adik arwah, Mohd Nizam, 50, pula memberitahu, kali terakhir mereka berhubung adalah pada tengahari semalam.
Katanya, arwah memaklumkan dia berada di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan ke Bentong.
“Saya memang tidak jangka kejadian ini menimpa abang sebab tengah hari dia telefon saya.
“Arwah masih beria mengajak saya ikut ke Pulau Pinang, tetapi saya dah pergi baru-baru ni. Sekarang, bukan arwah yang pergi Pulau Pinang, tetapi orang sana pula ziarah arwah abang saya,” katanya.














