fbpx
Rosmah.

Pendakwaan tarik rayuan ubah wang haram, LHDN Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebas Datin Seri Rosmah Mansor atas 17 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal isytihar pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Berdasarkan notis penarikan balik rayuan yang difailkan pada 9 Disember lalu, pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024.

Sehubungan itu, tarikh bagi pengurusan kes yang ditetapkan pada 22 Disember ini dilapangkan. Oleh itu, notis untuk merayu bertarikh 20 Disember 2024 disifatkan terbatal seperti mana yang diperuntukkan dalam Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Pada 19 Disember 2024, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy membenarkan permohonan Rosmah ,74, untuk membatalkan kesemua 17 pertuduhan tersebut.

Rosmah dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN antara 2013 dan 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, isteri bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu dilakukan di Affin Bank Berhad cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN