KUALA LUMPUR – Sebuah restoran makanan Timur Tengah terkenal di Bukit Bintang, di sini, menjadi ‘lumpuh’ apabila seramai 101 pekerjanya ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, semalam.
Serbuan bermula pukul 11.10 malam di premis lima tingkat berkenaan turut menahan seorang lelaki tempatan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam berhubung dakwaan terdapat warga asing yang disyaki bekerja tanpa mempunyai dokumen atau pas sah di premis berkenaan.
Menurutnya, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 111 lelaki warga asing dan enam lelaki tempatan dipercayai bekerja di premis berkenaan.
“Susulan itu, seramai 101 lelaki warga asing membabitkan 86 warga Bangladesh, 12 warga Syria dan dua warga Indonesia ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.
“Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang bertugas sebagai pengurus besar premis berkenaan. Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 40 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati ada sebahagian warga asing mempunyai pas dalam beberapa sektor termasuk pembinaan, runcit, pencucian, pelajar, kilang, pas lawatan sosial dan restoran, namun pas yang dikeluarkan adalah bukan di bawah premis diperiksa.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
“Selain itu, Seksyen 55(b) Akta Imigresen ke atas majikan premis kerana kesalahan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – KOSMO! ONLINE














