TERLETAK di antara laluan kapal antarabangsa dan dikelilingi tebing karang yang terjal, Tukun Perak sering digelar ‘permata jauh’ oleh pemancing. Gelaran itu bukan sebab kecantikannya semata-mata tetapi kerana ia sebuah lokasi yang keras, liar dan penuh kejutan.
Di sinilah pancingan dasar iaitu ibu kepada segala teknik pancingan di laut mencapai makna sebenarnya. Setiap inci dasar, kawah tersembunyi dan bayang sonar yang muncul menjadi isyarat bahawa apa sahaja boleh berlaku pada setiap labuhan umpan.
Perjalanan
Perjalanan ke Tukun Perak lazimnya memakan masa lama, bergantung pada pengkalan dan
kelajuan bot. Namun kini, jarak yang dahulunya dianggap jauh tidak lagi menjadi halangan.
Trip ini disertai oleh enam pemancing veteran dari Kuala Lumpur dengan menggunakan khidmat bot Batutta 7. Perjalanan trip bermula dari jeti di Sungai Petani.
Semakin bot menghampiri destinasi, semakin jelas perubahan warna airnya daripada biru kehijauan kepada biru gelap pekat, hasil campuran aliran air dari tiga arah iaitu Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.
Ketika sauh menjejak dasar dan bot mula stabil, pemancing akan menyedari satu perkara, arus di sini sentiasa liar, berubah-ubah tanpa amaran, selain mampu mengheret batu ladung ke arah tidak dijangka.
Inilah cabaran pertama bagi pemancing dasar, membaca arus sebelum memancing.
Umpan
Umpan terbaik untuk pancingan dasar di Tukun Perak bergantung pada spesies ikan buruan. Pemancing yang memancing malam dan target ikan kerapu, jenahak atau siakap merah lazimnya memilih sotong hidup sebagai taruhan.

Walaupun sotong hidup dianggap raja segala umpan, namun ada juga yang membawa sotong kurita kerana ia tahan lama dan mampu juga menarik perhatian ikan pemangsa.
Pada waktu siang pula, ikan selar, kembung, pelaling dan sardin hidup sering menjadi pilihan bagi pemburu ikan bersaiz XL seperti aruan tasik dan ebek. Hirisan tongkol pula menjadi umpan penyelamat apabila arus menjadi tidak tentu hala.
Arus
Pancingan dasar di Tukun Perak menuntut disiplin yang tinggi dalam membaca pergerakan arus.
Ia bukan sekadar arus permukaan yang kelihatan tenang, tetapi arus bawah yang kadangkala terlalu laju hingga mampu memutar tali dan batu ladung.
Kebanyakan pemancing tewas bukan kerana ikan tetapi sebab arus. Ketika keadaan arus laju, batu ladung bersaiz 24 hingga 32 merupakan kebiasaan digunakan di sini.
Pemancing baharu yang datang buat kali pertama sering tidak percaya bagaimana batu ladung seberat itu masih boleh hanyut. Namun, begitulah cabaran sebuah kawasan yang dikelilingi pertembungan arus dari tiga lautan.
Justeru itu, penggunaan set pancing mesin elektrik sangat praktikal, apatah lagi buat pemancing veteran yang lebih gemar memancing secara santai.
Ikan dasar
Apabila berbicara mengenai ikan pancingan di Tukun Perak, ia bukan hanya mengenai spesies ikan sasaran, tetapi apa yang menanti di dasar.
Ikan jenahak dan merah menjadi rebutan kerana nilainya yang lebih baik. Tarikannya tidak pernah mengecewakan, ia memberi tentangan sepenuhnya sebelum menyerah.
Ikan kerapu pula merupakan pemangsa senyap, apabila ia menyedut umpan, lenturan joran diikuti tekanan berat menjadi tanda bahawa pertempuran sudah bermula.
Beri peluang satu inci sahaja, ia akan menyusup ke lubang dan tamatlah cerita.

Namun, kadangkala spesies ikan yang tidak diduga seperti gerepoh (GT) dan tenuk iaitu alu-alu saiz kasar sesekali mengejutkan pemancing dasar.
Tidak kurang beberapa spesies tuna yang sesekali singgah dan kerap memberikan harapan palsu dengan one way ticket (pergi tidak kembali).
Setiap spesies ikan memiliki karakter tersendiri, ada menyambar ganas, ada makan perlahan, ada yang memecut seperti peluru dan ada ‘berat’ umpama mengangkat batu karang besar dari dasar.
Teknik
Kelengkapan pancing untuk ke Tukun Perak bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng.
Pemancing lazimnya memilih set pancing berkekuatan antara PE3 hingga 6, cukup kuat untuk menahan asakan ikan dan mengurangkan risiko tali putus akibat bergesel dengan struktur dasar.
Perambut fluorocarbon 80 hingga 120lb digunakan mengikut sasaran spesies ikan. Walaupun peralatan penting, namun teknik paling utama di sini adalah masa (timing).
Menurunkan umpan terlalu awal boleh menyebabkan tali hanyut dan perambut berpintal. Terlambat pula menjadikan umpan terkandas di kawasan kosong ketika kawanan ikan sudah meninggalkan lubuk.
Setiap detik adalah ‘emas’, jika peluang dibazirkan, maka anda bakal pulang dengan tangan kosong.
Sesi malam
Waktu malam di Tukun Perak membawa perwatakan baharu. Berlatarbelakangkan dinding pulau, cahaya lampu bot yang memantul di permukaan laut sedikit mengkhayalkan.
Ramai berpendapat malam adalah waktu terbaik untuk memburu ikan siakap merah dan kerapu.
Manakala ada yang percaya malam adalah waktu laut menguji sejauh mana pemancing bersedia untuk melawan.
Apa pun kepercayaannya, satu perkara yang pasti, sesi pancingan malam di Tukun Perak jarang sunyi. Masing-masing puas bergasak dengan ikan dasar yang menjadi impian.
Di pagi terakhir, wajah para pemancing biasanya memendam segala penat keletihan. Namun, apabila tong ikan dibuka atau hasil trip dibariskan di atas dek, segala penat hilang serta-merta.
Tukun Perak bukan hanya tempat untuk memancing ikan, ia adalah sebuah tempat di mana legenda akan kekal terpelihara dari generasi ke generasi.
Pancingan dasar di sini ibarat membaca sebuah novel epik yang tidak pernah selesai.
Setiap trip mempunyai plot tersendiri, setiap lubuk menyimpan rahsia, dan setiap sambaran mempunyai ceritanya.
Setiap kali bot balik ke jeti, satu perasaan tetap tertinggal di belakang, Tukun Perak masih lagi gah berkhidmat untuk pemancing.














