HANOI – Sebuah kenderaan membawa ahli keluarga yang pulang dari majlis perkahwinan bertembung dengan lori kontena di Vietnam, mengakibatkan empat saudara-mara pengantin perempuan maut, lapor portal berita VnExpress.
Pengantin lelaki dan perempuan adalah antara sembilan orang yang cedera.
Kemalangan berlaku sekitar pukul 4 pagi (waktu tempatan) di Lebuh Raya Da Nang–Quang Ngai semalam.
Kenderaan membawa 12 orang itu dalam perjalanan dari rumah keluarga pengantin lelaki di wilayah Lam Dong ke kampung pengantin perempuan di wilayah Ninh Binh apabila ia merempuh lori tersebut.
Tiga penumpang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Keempat-empat mangsa yang maut merupakan saudara-mara pengantin perempuan yang berusia antara 37 hingga 76 tahun.
Pasangan pengantin mengalami kecederaan ringan, manakala polis sedang menyiasat punca kemalangan. – AGENSI














