fbpx
Gambar hiasan

Rapid Rail siasat insiden kenderaan penyelenggaraan tergelincir di Stesen Universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan Laluan LRT Kelana Jaya kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 7.41 pagi tadi selepas kerja baik pulih selesai dilaksanakan.

Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam kenyataan berkata, insiden melibatkan sebuah kenderaan penyelenggaraan yang tergelincir dari landasan ketika kerja dilaksanakan di Stesen Universiti, menyebabkan kerosakan pada sistem semboyan di lokasi tersebut.

“Siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengenal pasti punca insiden dan memastikan langkah pencegahan sewajarnya dapat diambil,” kata kenyataan itu hari ini.

Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara diaktifkan sepanjang tempoh gangguan bagi memastikan penumpang dapat meneruskan perjalanan seperti biasa.

“Kami menghargai kesabaran semua penumpang sepanjang tempoh gangguan dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi Rapid Rail turut dipertingkatkan dengan pemantauan rapi, selain anggota polis bantuan dan petugas stesen yang masih ditempatkan di platform serta ruang legar bagi mengawal kesesakan pengguna.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pengguna LRT Laluan Kelana Jaya pagi ini berdepan gangguan selepas sebuah kenderaan penyelenggaraan Rapid Rail tergelincir dari landasan ketika kerja membaik pulih dijalankan di Stesen Universiti.

Insiden yang berlaku awal pagi tadi menyebabkan kerosakan pada sistem semboyan, sekaligus menjejaskan jadual tren antara Stesen Taman Bahagia hingga KL Sentral. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI