KENINGAU – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain sorok-sorok bersama rakan di halaman rumah di Jalan Kem PPH di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan bermain bersama seorang rakan sebelum remaja itu secara tidak sengaja melepaskan tembakan pada jarak kira-kira tiga meter.
Mangsa yang rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan dihantar ke Hospital Keningau oleh penduduk kampung, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan awal mendapati rakan mangsa yang berusia 14 tahun ternampak remaja itu memegang bakakuk di hadapan rumah sebelum meminta senjata tersebut untuk bergurau.
“Ketika bermain sembunyi-sembunyi, mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah sebelum suspek dipercayai tidak sengaja menarik picu senjata lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa.
“Suspek yang panik meminta bantuan orang kampung yang kebetulan lalu di kawasan kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke hospital,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat 14 kesan tembakan pada beberapa bahagian tubuh termasuk dada dan lengan kanan, lutut dan sisi kiri badan mangsa. Siasatan mendapati senjata itu disorokkan seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun iaitu adik suspek.
Pemilik bakakuk adalah bapa mereka yang berusia 70 tahun. Siasatan turut mendapati mangsa merupakan rakan rapat suspek dan sering bermalam di rumah keluarga tersebut. Ketiga-tiga beranak itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














